Ada ramai pelajar lepasan SPM yang dapat keputusan tidak berapa baik. Malahan, ada yang juga yang gagal SPM dan tidak mempunyai hala tuju untuk melanjutkan pelajaran. Namun ini bukanlah pengakhirannya.
Kerajaan telah mewujudkan pelbagai laluan alternatif untuk pelajar seperti ini, antaranya ialah pendidikan dan latihan TVET Malaysia contohnya dalam bidang kimpalan (welding). Jadi, apakah sebenarnya maksud TVET?
Apa itu TVET?
TVET ialah singkatan bagi Technical and Vocational Education and Training atau dalam Bahasa Melayu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.
Ia merupakan satu bentuk pendidikan yang memberi penekanan kepada latihan praktikal berasaskan kemahiran yang diperlukan oleh industri. Ia bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang tertentu.
Skop latihan ini berpandukan standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan tumpuan kepada aspek praktikal, kemahiran psikomotor, serta pendedahan terus kepada latihan industri.
Apa Beza TVET dan Diploma?
Walaupun kedua-duanya merupakan bentuk pendidikan selepas sekolah menengah, TVET dan diploma mempunyai pendekatan yang berbeza:
- TVET adalah program pendidikan yang memberi tumpuan kepada perkembangan dalam bidang teknikal dan latihan . TVET biasanya lebih fokus kepada latihan praktikal yang dapat digunakan dalam pekerjaan tertentu. Program-program ini biasanya lebih pendek daripada program diploma yang lebih ke arah ‘hands-on’ berbanding teori.
- Diploma adalah kelayakan akademik yang diberikan oleh institusi pendidikan seperti politeknik atau kolej komuniti setelah tamat pengajian. Program diploma biasanya memerlukan waktu dua hingga tiga tahun untuk diselesaikan dan mencakup berbagai mata pelajaran, termasuk teori dan praktikal. Diploma biasanya memberi penekanan yang lebih banyak pada pengetahuan teori praktikal.
Secara ringkas, TVET lebih fokus kepada penguasaan kerja sebenar, manakala diploma menekankan teori dan pengetahuan menyeluruh dalam sesuatu bidang.
Apa Beza TVET dengan Pendidikan di Universiti?
TVET memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional. Program ini menawarkan latihan praktikal yang berkait rapat dengan keperluan industri semasa. Ia sesuai untuk mereka yang ingin memasuki alam pekerjaan dalam masa yang singkat serta merupakan laluan terbaik bagi individu yang lebih cenderung kepada pembelajaran berasaskan amali.
Sebaliknya, institusi pengajian tinggi seperti universiti memberi penekanan kepada ilmu akademik dan penyelidikan. Kursus di universiti biasanya mengambil masa tiga hingga empat tahun dan lebih relevan untuk mereka yang ingin memasuki profesion seperti perundangan, perubatan atau pendidikan.
Dalam erti kata lain, TVET lebih kepada pembelajaran kemahiran yang spesifik untuk suatu pekerjaan atau industri, manakala pendidikan universiti adalah lebih umum dan menyediakan pengetahuan asas dalam pelbagai bidang.
Selain itu, kos pengajian TVET juga jauh lebih rendah berbanding dengan pengajian universiti, menjadikannya pilihan yang lebih ekonomik bagi ramai pelajar.
Apa Tujuan TVET Diperkenalkan?
TVET diperkenalkan dengan tujuan untuk memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja mahir serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Ini selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu menyediakan kemahiran yang relevan dengan pasaran kerja, malah turut menyokong mobiliti tenaga kerja ke peringkat antarabangsa.
Agensi dan Institusi apa yang terlibat dengan TVET?
Antara institusi awal yang melaksanakan pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia termasuklah:
- Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua
- Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur
Kini, terdapat lebih 500 institusi awam di seluruh negara yang menawarkan pelbagai program latihan kemahiran untuk pelajar dari pelbagai latar belakang.
Siapa kumpulan sasaran TVET?
Pada masa kini, laluan utama untuk memasuki program TVET adalah melalui kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pelajar yang tamat SPM layak memohon untuk mengikuti pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan di institusi-institusi berkaitan.
Terdapat juga beberapa program khas seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang disasarkan kepada pelajar yang kurang berminat dalam bidang akademik dan mereka yang telah tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana.
Apa kelayakan minimum untuk masuk institusi TVET?
Kelayakan minimum berbeza mengikut program dan institusi, bergantung kepada syarat kemasukan yang ditetapkan oleh agensi yang menawarkan program tersebut.
Apa kelebihan sambung belajar dalam bidang TVET?
Lulusan program TVET mempunyai kelebihan dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran praktikal berbanding lulusan program akademik.
Kelebihan ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik minat majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada lulusan TVET. Dalam masa yang sama, ada banyak kepentingan TVET kepada pelajar dan negara.
😭🙏